ads-4x4-tb-program
ads-4x4training
ads-basic-vehicle-maintenance
ads2-tb-program-1200x500
previous arrow
next arrow

4x4 EKSPEDISI LUAR NEGARA

jwj2_4x4_china_border
JWJ2 di border China

4×4 Overland Ekspedisi

Ekspedisi jalan darat atau overland dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda adalah antara salah satu aktiviti yang sering mendapat perhatian dan sering dilakukan oleh peminat-peminat kenderaan pacuan 4 roda. Mengetahui kemampuan kenderaan ini  melakukan perjalanan jauh, membawa muatan yang banyak dan meneroka laluan yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa menjadikan ianya pilihan utama para overlander.

Mengambil kelebihan yang dimiliki oleh kenderaan 4×4 ini kami juga tidak ketinggalan untuk melakukan beberapa siri ekspedisi 4×4 ke seluruh pelusuk tanahair hinggalah  ke peringkat Asia Tenggara. Sememangnya menjadi satu keterujaan dan keseronokan memandu kenderaan 4×4 anda sendiri di negara orang bahkan bukan semua orang ada peluang sebegini.

Ekspedisi yang kami lakukan ini bukan tujuan untuk melancong semata-mata tetapi adalah satu ekspedisi penjelajahan 4×4 yang membawa misi tertentu.

Utusan-Malaysia-JWJ2

Program Jejak Warisan Jawi

Atas minat dan keterujaan ini lahirlah Program Ekspedisi Jejak Warisan Jawi atau yang lebih dikenali sebagai JWJ pada tahun 2010. Program JWJ adalah hasil kerjasama bersama badan NGO iaitu Majma’ Budaya dan Warisan Jawi dan Persatuan Seni dan Budaya Warisan Melayu Jawi atau singkatannya WarisAlam dengan membawa misi memperkenalkan budaya Malaysia khususnya Melayu ke negara-negara serantau disamping melakukan kajian-kajian sejarah dan peradaban Melayu di negara-negra yang dilawati. 

Pada tahun 2010, JWJ 1 bermula dengan negara jiran iaitu Thailand menuju ke wilayah Ayuthaya.Kenderaan 4×4 kami telah mengharungi perjalanan lebih dari 4,000 km pergi dan balik selama 12 hari. Sebanyak 6 buah kenderaan 4×4 telah digunakan dengan disertai 18 orang peserta termasuk 2 orang wakil media yang memberi liputan tentang perjalanan dan aktiviti JWJ 1 ini. Alhamdu lillah, ekspedisi ini berjaya tanpa sebarang masalah hingga kami kembali ke tanahair. 

Dengan kejayaan JWJ1, kami bertekad untuk melangkah lebih jauh lagi dan pada kali ini JWJ akan melebarkan lagi jarak perjalanan dengan adventur yang lebih mencabar.

Maka pada tahun 2011, kami lanjutkan Program Jejak Warisan Jawi 2 menuju ke  7 buah negara bermula dengan Malaysia-Thailand-Cambodia-Vietnam-Laos-China-Myanmar (7 Countries). JWJ2 telah melakukan perjalanan melebihi 12,000 km pergi dan balik dalam jangka masa 25 hari. Tetap misi yang sama cuma berbeza kali ini kami jua membawa misi kemanusiaan iaitu melakukan lawatan dan memberi sedikit bantuan (hasil dari sumbangan masyarakat Malaysia) kepada masyarakat orang Islam yang kurang  berkemampuan di perkampungan-perkampungan masyarakat orang Islam di negara-negara yang dilawati. Sebanyak 11 buah kenderaan 4×4 telah digunakan namun hanya 10 buah sahaja yang berjaya memasuki sempadan Thailand dan menamat ekspedisi ini.Ditemani seramai 25 orang peserta ekspedisi termasuk 4 penuntut universiti dan 5 orang wakil media, juga mendapat liputan dari  stesen Radio Bernama dan stesen TV (RTM) dimana mereka memberi liputi setiap perjalanan dan aktiviti JWJ2 setiap hari.

Kesinambungan program JWJ kami teruskan lagi dengan JWJ3 pada tahun 2013 tetapi kali ini ke Indonesia, so…tak yah bawak 4×4, terpaksalah naik kapal terbang. Apa pun … misi tetap diteruskan.

JWJ4, bila? Hmmm….perancangan untuk melakukan kembara dengan kenderaan 4×4 dalam JWJ4 telah banyak dilakukan dan sehingga kini masih belum dapat ditunaikan tetapi Insha Allah dengan izin Allah SWT ia akan dilaksanakan satu hari nanti.

Sebenarnya JWJ4 kali ini agak complicated sikit, bukan apa cuma ianya perlu perancangan yang lebih teliti dan terperinci, budget yang lebih besar (lebih2 lagi bila nilai mata wang kita jatuh) dan akan melibatkan banyak pihak samada di peringkat dalam negera mahupun luar negara.

Matlamat utama JWJ4 adalah menuju ke Mekah Al Mukarramah, Arab Saudi dan menunaikan haji dengan menaiki kenderaan. Ianya akan mengambil masa perjalanan pergi hampir 60 hari dengan jarak perjalanan melebihi 24,000 km. Timbul pertanyaan, lamanya …itulah yang complicated sikit, agak payah nak diterangkan disebabkan JWJ4 mempunyai pelbagai misi dan banyak pula negara yang akan dilawati dan sehingga ke setakat ini kami masih lagi merancang untuk merealisasikannya. Insha Allah.

Boleh semak dan klik site di bawah sekiranya inginkan  info lanjut tentang JWJ :

Border-check-JWJ2
Border Check-Cambodia

Disini secara ringkasnya kami kongsikan apa yang perlu anda lakukan sebelum membuat keputusan untuk melakukan ekspedisi overland 4×4 khususnya ke negara-negara luar dari Malaysia :

Nama Ekspedisi

Kemana ekspedisi akan pergi, nama dan tujuan, tempoh dan itinerari ekspedisi.

Penglibatan Ekspedisi

Tentukan pihak yang bakal terlibat dalam menjayakan ekspedisi anda contohnya kerjasama dari pihak kerajaan, pihak swasta, NGO dan juga penaja. Tentukan bilangan maksima kenderaan dan peserta yang akan turut serta dan kalau boleh jangan terlalu banyak. Kami hadkan hanya 15 buah paling banyak. Penumpang bagi setiap buah kenderaan 4×4 seelok-eloknya 3 orang penumpang sahaja kerana sekiranya ada break-down kepada kenderaan ekspedisi, peserta ini dapat diagihkan kedalam kenderaan ekspedisi yang lain.

Route atau Laluan Ekspedisi

Buat kajian dahulu secara mendalam tentang route perjalanan (Boleh guna google maps). Dapatkan maklumat-termasuk jarak perjalanan yang perlu anda jalani dalam masa sehari (kami limitkan 600 km sahaja sehari). Tentukan juga stop point setiap hari, stesen minyak, tempat persinggahan dan penginapan (sure kena  bermalam).

Prosedur dan Peraturan

Prosedur imigresen atau kastam di setiap border yang kita akan masuki. Buat kajian mengenai kemasukan kenderaan secara berkonvoi ke setiap buah negara yang akan anda masuki. Mungkin perlukan permit dan kelulusan ataupun perlu menggunakan khidmat pemandu pelancong yang berlesen (Ground Handler). Sekiranya memerlukan pemandu pelancong (Ground Handler), perbincangan tentang perjalanan serta itinerari perjalanan perlu di buat awal dengan mereka. Ground Handler akan menguruskan segala yang berkaitan dengan kemasukan pasukan ekspedisi ke negara mereka. Contoh negara yang mengenakan syarat menggunakan khidmat Ground Handler ialah Cambodia, Myanmar, Vietnam, Laos dan China. Sekiranya diluluskan, siapkanlah ongkosnya dan caj mereka ini, boleh tahan lah!.

Perancangan Kewangan Ekspedisi

Perancangan kewangan pasukan ekspedisi, buat sedetail mungkin kerana berkemungkinan kita akan terlepas pandang banyak perkara dan sebaik-baiknya sediakan Kontigensi Budget (Budget dalam hal-hal kecemasan dan penting). Info-info yang melibatkan kewangan seperti tukaran matawang, harga petrol dan diesel, sewa hotel, insuran, bayaran permit kemasukan kenderaan (setengah negara kena bayar seperti Cambodia, Vietnam, Laos, China dan Myanmar), caj ground handler dan passenger entry permit.

Kenderaan Ekspedisi

Persiapan kenderaan 4×4 anda seperti tayar, timing belt (eloknya tukar baru), alternator, radiator, sistem brek, sistem air-cond, tukar baru segala minyak yang ada dan seelok-eloknya siap seminggu sebelum bertolak . Jangan lupa bawa geran kenderaan (Kalau boleh bawa yang asal), surat kuasa memandu kenderaan dari pemilik kenderaan (sekiranya anda memandu kenderaan orang lain), sediakan juga peralatan alat ganti bagi setiap kenderaan seperti alternator, bateri, minyak enjin, minyak brek dan lain-lain alat ganti yang anda rasakan perlu untuk kenderaan anda kerana tidak semua negara mempunyai stok alat ganti terutamanya kalau kenderaan 4×4 anda adalah kenderaan lama. Lagi elok bawa kenderaan baru.

Peserta Ekspedisi

Persiapan peribadi peserta seperti pasport, visa (bagi negara-negara Asean tak perlukan Visa) tetapi seeloknya pergi ke kedutaan setiap negara yang kita akan masuki untuk dapatkan maklumat lanjut. Insuran kemalangan atau PA dan bagi pemandu kenderaan dapatkan lesen memandu antarabangsa (Pergi JPJ jer, mohon dan bayar-boleh klik site JPJ di bawah ni), wang untuk kegunaan peribadi dan apa sahaja yang keperluan yang anda rasakan penting. 

Memandu kenderaan 4×4 sendiri dinegara orang adalah satu pengalaman yang menyeronokan dan cukup berharga serta sukar dilupakan. Banyak perkara yang boleh kita pelajari.  Apabila anda sendiri mengikuti siri kembara-kembara 4×4 khususnya ke luar negara lebih-lebih lagi anda mampu pergi ke ceruk yang kurang dilawati oleh pelawat biasa maka anda dapat merasakan sendiri betapa beruntungnya dan  bersyukurnya dilahirkan  sebagai rakyat Malaysia.

Perkara-perkara yang kami senaraikan tidaklah muktamad dan ianya sentiasa berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada perubahan oleh sesebuah negara itu.