ads-4x4-tb-program
ads-4x4training
ads-basic-vehicle-maintenance
ads2-tb-program-1200x500
previous arrow
next arrow

4X4 - PETROL VS DIESEL

4×4 – PETROL VS DIESEL, MANA PILIHAN ANDA ?

Dalam membuat pilihan kenderaan 4×4 yang mana satu kadang-kadang memeningkan juga. Selain dari jenis transmisi kenderaan samada manual atau auto yang harus difikirkan , jenis bahan api yang digunakan kenderaan 4×4 yang kita nak beli juga perlu diambil kira.

Perdebatan diantara enjin petrol dan diesel sering diperkatakan di kalangan penggunaan kenderaan. Topik ini juga biasa dibualkan dikalangan penggemar kenderaan 4×4. Mana satu yang lebih baik, petrol atau diesel. Setiap orang mempunyai pandangan yang tersendiri dan kepada yang dah biasa dan memiliki kenderaan petrol maka mereka akan mengatakan bahawa kenderaan petrol jauh lebih baik dari kenderaan diesel. Begitulah sebaliknya. Tetapi untuk menentukan yang mana satu lebih baik di antara kedua ini bukanlah satu perkara yang mudah untuk diputuskan. Banyak perkara yang perlu di ambil kira dan dipertimbangkan. Bagi anda yang mungkin baru nak berjinak-jinak ke dalam dunia pacuan 4 roda, mungkin ini adalah salah satu alasan yang kadang-kadang pening juga memikirkannya.

Sekiranya anda berada dalam dilema untuk menentukan antara petrol dan diesel 4×4, mungkin tips-tips berikut boleh memberi gambaran untuk anda membuat pertimbangan dan seterusnya membuat keputusan yang tepat yang mana satu pilihan anda.

Berikut adalah alasan-alasan yang perlu anda ketahui :

Tujuan dan keperluan

Ini adalah faktor yang paling utama yang harus difikirkan. Apakah tujuan anda membeli kenderaan pacuan 4 roda ? Sekiranya tujuan anda membeli kenderaan pacuan 4 roda adalah untuk digunakan untuk aktiviti-lasak seperti untuk mengangkut muatan yang berat, mampu melakukan perjalanan yang jauh atau boleh dipandu dijalan off-road maka pada pendapat kami enjin diesel adalah pilihan yang terbaik. Walau apa pun, kita lihat faktor lain pula.

Prestasi 

Keduanya apa yang boleh dipertimbangkan ialah dari segi prestasi. Prestasi enjin petrol tidak dapat dinafikan dan memang telah diakui mempunyai prestasi yang lebih baik berbanding dengan enjin diesel. Namun, dengan kewujudan teknologi Turbo, prestasi enjin diesel mula menjadi perhatian. Enjin diesel moden kini telah dilengkapi dengan teknologi turbo yang canggih seperti Turbo Direct Injection (TDI), Variable Geometric Turbocharger (VGT) atau Variable Nozzle Turbine (VNT) dan dengan teknologi ini membuatkan ia mampu bersaing dengan enjin petrol. Namun enjin petrol tetap menjadi pilihan ramai pengguna kerana ia jauh lebih berprestasi dan masih peneraju kepada dunia permotoran .

Kuasa dan Keupayaan Enjin

Sekiranya anda memilih enjin yang mampu memberi lonjakan yang tinggi, petrol adalah pilihannya, tetapi sekiranya anda memilih enjin yang boleh menjana daya tarik (Tork) yang tinggi maka enjin diesel adalah pilihan yang utama. Enjin diesel direka untuk melakukan kerja-kerja berat serta menghasilkan engine braking yang baik. Enjin petrol pula mampu memecut lebih cepat dan laju. Enjin diesel lebih bising berbanding dengan enjin petrol tetapi jangka hayatnya lebih panjang.

Penggunaan Bahan Bakar

Kajian yang telah dibuat oleh mereka yang pakar  dalam bidang penghasilan enjin di dalam dunia permotoran, pembakaran bahan bakar untuk enjin diesel adalah 15-20% kurang dari pembakaran yang dihasilkan oleh enjin petrol justeru menjimatkan penggunaannya. Namun, penambah baikan kepada teknologi enjin petrol seperti Fuel Injection atau hybrid engine bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar dan secara tidak langsung mengurangkan pencemaran udara maka enjin petrol menjadi pilihan ramai walaupun kenderaan diesel yang baharu kini dibina agar lebih mesra alam. Penjimatan bahan bakar juga bergantung kepada cara bagaimana anda memandu.

Penyelenggaraan Enjin

Bagi mereka yang menggunakan enjin diesel, penyelenggaraannya lebih mudah dan tidak terlalu kompleks.Walaupun begitu, tidak ramai mekanik yang mahir sekiranya hendak dibandingkan dengan mekanik yang mahir tentang enjin petrol. Mungkin antara sebabnya ialah enjin diesel jarang rosak tetapi kalau rosak akan memakan belanja yang besar. Silap-silap hari bulan tukar enjin lain sebab lebih murah dari repair. Tetapi beli enjin baru petrol lagi murah berbanding enjin diesel.

Harga

Harga untuk sesebuah kenderaan pacuan 4 roda diesel baru biasanya lebih mahal dari kenderaan 4 roda berenjin petrol. Namun begitu dari segi resale value, harga untuk kenderaan berenjin diesel lebih stabil berbanding dengan kenderaan berenjin petrol. Di Malaysia, lebih mudah untuk menjual kenderaan 4×4 berenjin diesel berbanding dengan enjin petrol.

Kelebihan dan kesesuaian untuk off-road

Di Malaysia, para kaki off-roader lebih gemar untuk memilih untuk menggunakan kenderaan diesel turbo kerana terbukti keupayaannya yang lebih baik ketika mengharungi jalan yang sukar dan jauh, menghasilkan tork dan engine braking yang lebih baik serta tidak mudah terbakar. Enjin diesel lebih sesuai untuk meredah sungai berbanding dengan enjin petrol. Pada kaki-kaki fourwheel yang sering bertanding untuk acara 4×4 Challenge, enjin petrol pula menjadi pilihan kerana ianya lebih cepat menyalurkan kuasa kuda yang tinggi dengan lebih cepat serta lebih laju memecut. 

Jadi, yang mana satu pilihan anda?

Semoga dengan penerangan kami ini dapat membantu anda untuk membuat pilihan yang tepat.